Saturday 17 March 2012

Bola dan Cinta

Trainer Ball

Kata orang, sakit akan menguji cinta!

Kalau kita sakit, kita akan cepat sembuh dengan adanya sokongan orang-orang di sekeliling kita. Namun jika kita sering mendengar keluhan, rungutan, kekerapan memandang jam, gelisah dan kelam kabut, semua itu menjadikan diri kita semakin tertekan.

Apabila ini berlaku, kita tahu bahawa cinta itu asli atau pun palsu!

Kita akan bersungguh-sungguh mengejar bola di padang dengan gema sorakan dan bunyi gendang. Kita mahu bola itu sentiasa berada di kaki kita. Lawan yang datang menerpa, kita hadapi bersungguh-sungguh, hinggakan ada yang jatuh dan tercedera. Pun kita tidak peduli. Kita tetap mahu bola itu.

Namun yang peliknya, mengapa apabila bola itu sudah menjadi milik kita, kita tendangnya jauh ke udara?

Begitulah perumpamaan cinta. Kita mengejar sementara belum dapat. Apabila sudah dapat, kita menendangnya pula jauh-jauh.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan pemilik bola itu. Jika sudah ada kecenderungan, cepat-cepatlah kita menukar kepada permainan ragbi pula! Kita kejar bola dan kita peluk bersungguh-sungguh. Kita rela dibebani dengan tubuh-tubuh pemain yang menghimpit untuk merebut bola yang kita peluk.Namun untuk menyerahkan bola itu kepada mereka, tidak sama sekali.

Kepada para pemandu saya, bergembiralah dengan cinta yang asli. Hidup mesti gembira meskipun ribut melanda. Pemanduan akan lancar jika hati anda sentiasa dipenuhi rasa cinta.

Tetapi harus diingat, cinta kepada Allah tetap menduduki tempat pertama.